Mencari
lokan di Sungai Laka
Buat
santapan para tetamu
Guru ibarat
penyuluh jiwa
Tempat
rujukan berpaksikan ilmu
Assalamualaikum semua…. Salam Perkenalan,
Salam Perpaduan, Salam 1Malaysia. Saya Norhamidah Binti Hussain. Baru nak
bermula buat blog ni walaupun dah lama pelajar tanya teacher ada blog tak?
Jadi, sebagai mukadimah…
Sejarah Pendidikan…
Di sebuah negeri di utara Semenanjung
Malaysia, Kedah…. Bermula persekolahan di Sekolah Kebangsaan Langgar sebagai
Ketua Kelas 1 Mawar dan tamat UPSR sebagai Ketua Murid (Perempuan) di dalam
Kelas 6 Mawar. Melanjutkan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan
Sultanah Asma untuk PMR dan SPM. Sekolah yang telah mengajar saya erti sebenar seorang
pemimpin. Meneruskan legasi pendidikan tinggi di Kolej Chermai Jaya melangkah
Laut China Selatan di Sarawak. Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi bantu
loncatan kepada aplikasi biologi dalam hidup ini. Menamatkan Ijazah dalam
Sarjana Muda Sains Dalam Biologi Molekul (Genetik) Dengan Kepujian di UKM. Melanjutkan
Ijazah Sarjana Sains Dalam Pengurusan Sumber Genetik Tumbuhan…. Juga di UKM.
Namun dek kerana minat yang amat mendalam dalam bidang pendidikan, saya
meneruskan pengajian di peringkat diploma dengan mengambil KPLI. Jauh terdampar
di Johor Bahru telah menambahkan lagi minat saya untuk mengajar.
Sejarah Perkhidmatan Sebagai Guru….
Dari bumi Sarawak saya kembali ke
Semenanjung Malaysia dan ke bumi Sarawak semula saya ditempatkan untuk
mengajar. Takdir Allah menentukan segalanya bersaksi tahun 2003. Penempatan
pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Tebakang, Serian telah berjaya mengajar
saya menjadi guru yang disayangi murid. Siapalah seorang guru tanpa muridnya….
Setelah kembali ke Kedah…. Saya menyambung tanggungjawab seorang guru di
Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena. 15 bulan di sana mengajar saya erti
kesabaran seorang guru terhadap anak-anak muridnya…
Sejarah Perkhidmatan Sebagai Pensyarah
Biologi….
Tanggal 16 Ogos 2008, bermulalah karier
saya sebagai seorang pensyarah Biologi di Kolej Matrikulasi Kedah (KMK)
mengajar remaja dalam subjek Biologi sehinggalah sekarang. Walaupun cita-cita
pada awalnya ingin menjadi seorang doktor tidak kesampaian, namun…. Jika saya
dapat melahirkan seorang pelajar sebagai doktor, itu adalah lebih bermakna dalam
hidup saya.
Menjadi seorang pensyarah Biologi, amat
tinggi tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Mengajar Biologi bukan
sekadar memberikan ilmu kepada pelajar, namun saya perlu mengupas setiap ilmu
Biologi itu supaya pelajar tidak tersilap memahami konsep Biologi itu sendiri.
Hobi dan Minat…
Saya amat berminat di dalam bidang seni
walaupun latar belakang saya adalah di dalam bidang sains. Hobi saya di masa
lapang adalah menulis… tak kisah apapun termasuklah cerpen, sajak dan pantun….
Walaupun sebenarnya istilah masa lapang itu tidak wujud langsung dalam kamus
kehidupan saya…. Mungkin boleh dikatakan masa senggang kot…
Falsafah Hidup…
“CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG”
Saya terus jatuh cinta
kepada tiga terma ini yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa
beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia seuatu ketika dahulu. Inilah falsafah
hidup yang saya pegang sebagai seorang “GURU”.
Jika saya dapat mencemerlangkan pelajar saya, mereka pasti mampu menjadi insan
yang gemilang dalam bidang mereka serta menjadi tokoh yang terbilang pada pada
hadapan.
“Setiap yang bermula pasti akan
berakhir… Namun jangan disalahkan perpisahan kerana mengakhirkan pertemuan.
Kerana tanpa perpisahan tiadalah pertemuan. Perpisahanlah yang menentukan betapa
berertinya pertemuan itu…..”
~ Semoga gembira dan mendapat ilmu
pengetahuan tentang biologi di dalam menyelusuri blog ini ~
“BIOLOGY:
THE BRIDGE TO THE KNOWLEDGE”
No comments:
Post a Comment