Monday, 29 August 2050

TENTANG SAYA - TEACHER MIDAH


Image result for GREY CAT


Mencari lokan di Sungai Laka
Buat santapan para tetamu
Guru ibarat penyuluh jiwa
Tempat rujukan berpaksikan ilmu



Assalamualaikum semua…. Salam Perkenalan, Salam Perpaduan, Salam 1Malaysia. Saya Norhamidah Binti Hussain. Baru nak bermula buat blog ni walaupun dah lama pelajar tanya teacher ada blog tak? Jadi, sebagai mukadimah…

Sejarah Pendidikan…

Di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia, Kedah…. Bermula persekolahan di Sekolah Kebangsaan Langgar sebagai Ketua Kelas 1 Mawar dan tamat UPSR sebagai Ketua Murid (Perempuan) di dalam Kelas 6 Mawar. Melanjutkan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma untuk PMR dan SPM. Sekolah yang telah mengajar saya erti sebenar seorang pemimpin. Meneruskan legasi pendidikan tinggi di Kolej Chermai Jaya melangkah Laut China Selatan di Sarawak. Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi bantu loncatan kepada aplikasi biologi dalam hidup ini. Menamatkan Ijazah dalam Sarjana Muda Sains Dalam Biologi Molekul (Genetik) Dengan Kepujian di UKM. Melanjutkan Ijazah Sarjana Sains Dalam Pengurusan Sumber Genetik Tumbuhan…. Juga di UKM. Namun dek kerana minat yang amat mendalam dalam bidang pendidikan, saya meneruskan pengajian di peringkat diploma dengan mengambil KPLI. Jauh terdampar di Johor Bahru telah menambahkan lagi minat saya untuk mengajar.

Sejarah Perkhidmatan Sebagai Guru….

Dari bumi Sarawak saya kembali ke Semenanjung Malaysia dan ke bumi Sarawak semula saya ditempatkan untuk mengajar. Takdir Allah menentukan segalanya bersaksi tahun 2003. Penempatan pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Tebakang, Serian telah berjaya mengajar saya menjadi guru yang disayangi murid. Siapalah seorang guru tanpa muridnya…. Setelah kembali ke Kedah…. Saya menyambung tanggungjawab seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena. 15 bulan di sana mengajar saya erti kesabaran seorang guru terhadap anak-anak muridnya…

Sejarah Perkhidmatan Sebagai Pensyarah Biologi….

Tanggal 16 Ogos 2008, bermulalah karier saya sebagai seorang pensyarah Biologi di Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) mengajar remaja dalam subjek Biologi sehinggalah sekarang. Walaupun cita-cita pada awalnya ingin menjadi seorang doktor tidak kesampaian, namun…. Jika saya dapat melahirkan seorang pelajar sebagai doktor, itu adalah lebih bermakna dalam hidup saya.  

Menjadi seorang pensyarah Biologi, amat tinggi tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Mengajar Biologi bukan sekadar memberikan ilmu kepada pelajar, namun saya perlu mengupas setiap ilmu Biologi itu supaya pelajar tidak tersilap memahami konsep Biologi itu sendiri.

Hobi dan Minat…

Saya amat berminat di dalam bidang seni walaupun latar belakang saya adalah di dalam bidang sains. Hobi saya di masa lapang adalah menulis… tak kisah apapun termasuklah cerpen, sajak dan pantun…. Walaupun sebenarnya istilah masa lapang itu tidak wujud langsung dalam kamus kehidupan saya…. Mungkin boleh dikatakan masa senggang kot…

Falsafah Hidup…

“CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG”
Saya terus jatuh cinta kepada tiga terma ini yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia seuatu ketika dahulu. Inilah falsafah hidup yang saya pegang sebagai seorang “GURU”. Jika saya dapat mencemerlangkan pelajar saya, mereka pasti mampu menjadi insan yang gemilang dalam bidang mereka serta menjadi tokoh yang terbilang pada pada hadapan.

“Setiap yang bermula pasti akan berakhir… Namun jangan disalahkan perpisahan kerana mengakhirkan pertemuan. Kerana tanpa perpisahan tiadalah pertemuan. Perpisahanlah yang menentukan betapa berertinya pertemuan itu…..”

~ Semoga gembira dan mendapat ilmu pengetahuan tentang biologi di dalam menyelusuri blog ini ~

“BIOLOGY: THE BRIDGE TO THE KNOWLEDGE”

Image result for waterfall